|
Fenomena
Bintang RTM melanda lagi. Tahun ini ujibakat yang di adakan
di Auditorium
P. Ramlee, Angkasapuri mendapat sambutan luar biasa. Peserta
ujibakat telah pun berada di Angkasapuri seawal pagi lagi.
Peserta yang datang bukan saja dari sekitar Lembah Klang
malah ada yang datang dari utara dan selatan tanah air.
Bahkan ada seorang peserta dari Kota Kinabalu datang hanya
untuk ujibakat Bintang RTM semata-mata! Sebaik saja kaunter
pendaftaran di buka kaunter terus diserbu oleh peserta
ujibakat.
Hari pertama ujibakat seramai 305 orang telah
mencuba nasib. Pelbagai gelagat peserta yang menyertai
ujibakat dapat disaksikan. Terdapat peserta yang datang ke
kaunter pendaftaran selang 10 minit kerana ingin menukar
lagu. Suasana di dalam Auditorium tidak kurang hangatnya.
Ada peserta yang baru pertama kali menyertai ujibakat tetapi
mampu menunjukkan bakat seperti seorang penyanyi profesional.
Namun ada juga yang baru menyanyi dua perkataan terus
berhenti menyanyi disebabkan gemuruh. Malah terdapat peserta
yang tidak berpuas hati dengan persembahan mereka sendiri
sehingga ada yang menendang pintu auditorium. Ujibakat tamat
pada jam 1 pagi.
Hari kedua tidak kurang hebatnya. Seramai 260 peserta telah
menyertai ujibakat. Keadaan hari kedua lebih terkawal
berbanding hari pertama. Dalam ramai peserta yang mencuba
nasib ada adik penyanyi popular dan bekas peserta finalis
Bintang RTM juga tidak ketinggalan.
Jumlah yang menyertai ujibakat Bintang RTM bagi Zon Tengah
ini adalah seramai 565 orang dan Kuala Lumpur merupakan
lokasi terakhir untuk Ujibakat Bintang RTM bagi tahun 2009.
Terima kasih kepada yang datang untuk menghadiri ujibakat
yang telah di adakan di seluruh negara bermula Januari lepas.
Nantikan kemunculan bintang-bintang yang bakal mewarnai
hidup anda tidak lama lagi.
|