|
LATAR BELAKANG |
Kejayaan BINTANG RTM bertahan lebih 35
tahun sebagai medium pencungkilan bakat baru bidang seni
suara tanah air sememangnya tidak dapat dinafikan lagi.
Nama BINTANG RTM mula digunakan apabila Bakat Radio dan
Bakat TV diselaraskan dan digabungkan menjadi BINTANG
RTM pada tahun 1973. Dan pertandingan Peringkat Akhir
yang pertama disiarkan pada 26 Februari 1974.
Bintang RTM seterusnya menjadi satu acara
gilang-gemilang dalam mencungkil bakat baru berkualiti
sehingga kini.
Melalui pertandingan ini, RTM telah
melahirkan ramai nama besar dalam industri seni hiburan.
Antaranya Dahlan Zainuddin, Allahyarham Sudirman Hj
Arshad, Rosmaria, Jennifer Yen, M.Rizal, Muhaini
Suratman, Yunizar Hussein, Jamal Abdillah, Najib Hanif,
Rohana Jalil, Juliza Adlizan, Safar Ghafar, Raisuddin
Hamzah, Ramlah Ram, Jamilul Hayat, Noraniza Idris,
Noraliza Yusof, Azian Mazwan Safuan , Ayai Ilusi,
Azharina, Misha Omar, Sarah Raissudin, Farawahida,
Sharifah Zarina, Asmidar, Ameer Sofaz, Rina Azhar,
Felis, Rey, Aeyaja Shada, Izwan Pilus, Najib Hamzah,
Muhaizam Ahmad, Marcel, Emil Hamlyn, Min, Shahir, Han
dan Amin.
Bintang RTM 2009 telah menyaksikan 30
peserta bertanding di peringkat Suku Akhir dan 14
peserta di peringkat Separuh Akhir. Kini 8 peserta iaitu
Anna, Aina, Adli, Zilla, Nizam, Fatin, Ikbal dan Ernie
akan bertanding di Malam Seribu Bintang, Pertandingan
Akhir Bintang RTM 2009 yang akan berlangsung pada 28 Jun
2009 (Ahad) di Stadium Negara, Kuala Lumpur.
Ianya akan disiarkan
secara langsung serentak di TV2, Muzik Aktif (Astro 180)
dan Radio Malaysia Muzikfm bermula jam 8.30 malam hingga
10.30 malam. Pemilihan Stadium Negara dibuat bagi
memberi lebih ramai penonton untuk merasai sendiri
secara eksklusif kehangatan bahang pertandingan
disamping dapat mewujudkan suasana gilang-gemilang.
Selain itu, pihak
penerbitan turut mengadakan lintas langsung ke 4 lokasi
asal peserta iaitu Kulim, Kedah (Adli dan Zilla),
Kluang, Johor (Fatin), Kota Kinabalu, Sabah (Anna) dan
Tawau, Sabah (Nizam dan Ikbal) bagi mendapatkan suasana
sebenar keluarga dan para penyokong mereka. Manakala
bagi peserta yang berasal dari Kuala Lumpur, keluarga
dan para penyokong mereka akan turut memeriahkan lagi
suasana di Stadium Negara.
Pertandingan akhir
kali ini memperlihatkan kreativiti setiap peserta yang
akan membuat persembahan selama 7 minit dengan 3 minit
lagu wajib (lagu bahasa Malaysia ciptaan komposer
tempatan) dan 4 minit lagu pilihan (lagu apa-apa bahasa
selain daripada bahasa etnik yang telah diluluskan oleh
panel penilaian lagu-lagu RTM). Persembahan para peserta
akan diiringi oleh Orkestra RTM.
Bagi mengekalkan
tradisi dan kualiti pertandingan, penggunaan penjurian
profesional dikekalkan untuk memilih Johan, Naib Johan,
Tempat Ke-3 dan Persembahan Terbaik. Namun bagi Pemenang
Bintang Paling Popular, ianya akan ditentukan oleh para
penonton menerusi undian secara SMS.
Pengacara pertandingan
kali ini ialah Izwan Pilus, Alisya dan Muaz dan turut
dimeriahkan oleh persembahan artis undangan seperti
Jamal Abdillah, Jaclyn Victor, Dia Fadila, Asmidar,
Farawahida, Rey dan Candy Cheah.
Selain itu, RTM turut menerbitkan sebuah rancangan
sokongan kepada Pertandingan Akhir Bintang RTM 2009
iaitu Aura Bintang... Menuju Malam Seribu Bintang.
Ianya memaparkan secara eksklusif para finalis Bintang
RTM 2009 selama 30 minit sebanyak 4 episod di TV2
(bermula siaran 22 Jun 2009 hingga 25 Jun 2009 jam 4.30
petang) dan 5 episod di Muzik Aktif Astro
180 (bermula 22 Jun 2009 hingga 28 Jun 2009 jam
8.00 malam)
Siapakah yang akan dinobatkan sebagai
Johan Bintang
RTM ke-14? Semuanya akan terjawab di
Malam Seribu Bintang Pertandingan Akhir Bintang RTM
2009.
|